Abstrak
Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) terhadap kualiti hidup (QoL) masih sering dipandang
remeh. Di Malaysia, Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah kes COVID-19 tertinggi.
Instrumen ukuran generik lazimnya tidak memberi tumpuan khusus kepada kesan sesuatu penyakit,
sebaliknya merangkumi dimensi QoL yang lebih luas seperti kesejahteraan mental, fungsi fizikal, fungsi
sosial dan tahap kesakitan sebagai aspek yang boleh terjejas akibat pelbagai jenis penyakit. Oleh itu,
instrumen khusus bagi sesuatu penyakit adalah lebih sensitif dalam mengenal pasti perubahan status
klinikal atau membezakan pesakit berdasarkan tahap keterukan penyakit. Kajian ini bertujuan untuk
menilai kesahan dan kebolehpercayaan versi Bahasa Melayu soal selidik COVID-19 Quality of Life (CO-
19_QoL) bagi kegunaan dalam konteks Malaysia. Kajian keratan rentas ini melibatkan 330 orang pesakit
dewasa COVID-19 di Selangor. Soal selidik ini telah diterjemahkan dan diadaptasi mengikut kesesuaian
budaya berdasarkan garis panduan International Society for Pharmacoeconomics and Outcomes Research
(ISPOR), yang merangkumi proses terjemahan hadapan (forward translation), terjemahan balik (backward
translation), serta semakan oleh panel pakar bagi memastikan kesetaraan konsep dan linguistik dengan
versi asal. Hasil analisis menunjukkan kesahan kandungan yang sangat baik (Kappa > 0.8), membuktikan
bahawa setiap item adalah relevan dengan simptom COVID-19 dan diterjemahkan dengan tepat. Pekali
konsistensi dalaman (Cronbach’s alpha) adalah tinggi pada 0.919, manakala ujian ulangan (test-retest)
menunjukkan kebolehpercayaan yang sangat baik ["Intraclass Correlation Coefficient" (ICC) = 0.896, p
< 0.001]. Bagi kesahan konstruk, satu domain tunggal dengan 15 item didapati sah dan boleh dipercayai
untuk mengukur QoL pesakit COVID-19. Instrumen CO-19_QoL ini mempunyai potensi besar sebagai
alat pengukuran khusus penyakit yang mudah digunakan, diterima baik oleh pesakit dan memenuhi
kriteria ketat dari segi kebolehpercayaan serta kesahan. Selain itu, penggunaan instrumen ini bersama
ukuran QoL generik mampu memberikan analisis yang lebih menyeluruh terhadap HRQoL pesakit
COVID-19 di Selangor
Kata Kunci :
COVID-19; kualiti hidup; kualiti hidup berkaitan kesihatan; terjemahan; validasi,