Abstrak
Laporan ini menunjukkan satu kes keratopati vorteks pada sebelah mata dalam seorang pesakit yang menggunakan emulgel Diclofenac. Ini ialah kes pemendapan di kornea yang jarang berlaku akibat penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) topikal. Laporan ini membincangkan kes seorang lelaki berusia 77 tahun dengan pelbagai komorbiditi sistemik yang menjalani pemeriksaan susulan secara berkala di klinik oftalmologi bagi glaukoma pseudoeksfoliatif pada kedua-dua matanya dan penyakit vaskulopati koroid polypoid pada mata kiri. Semasa salah satu lawatan susulan, didapati terdapat pemendapan berwarna kelabu pada epithelium kornea mata kirinya, yang menimbulkan kecurigaan terhadap keratopati vorteks. Pesakit tidak mengalami simptom penurunan penglihatan. Penglihatan terbaik mata kirinya adalah 6/36, yang dikaitkan dengan parut fovea dan 'pigment epithelium detachment' akibat komplikasi penyakit vaskulopati koroid polypoid. Penglihatan terbaik untuk mata kanan pula adalah 6/12 tanpa tanda-tanda keratopati vorteks. Pesakit dilaporkan menggunakan emulgel Diclofenac setiap hari untuk kedua-dua lututnya yang mengalami osteoartritis, seperti yang telah dipreskripsikan oleh doktor ortopedik selama dua tahun yang lalu. Tiada ubat sistemik lain yang didapati berpotensi menyebabkan perubahan pada mata ini. Selepas pemberhentian penggunaan emulgel Diclofenac selama enam bulan, pemendapan pada kornea hilang sepenuhnya. Laporan kes ini menekankan bahawa keratopati vorteks pada sebelah mata adalah sangat jarang berlaku, terutamanya dalam kalangan pesakit yang menggunakan ubat topikal, sekali gus menekankan keperluan untuk kajian lanjut bagi memahami mekanismenya dengan lebih tepat. Selain itu, para pengamal perubatan perlu mempertimbangkan dengan teliti risiko dan manfaat NSAID sebelum diberikan kepada pesakit. Pemantauan berkala dan pendidikan kepada pesakit adalah penting bagi pengesanan awal serta rawatan kesan sampingan okular.
Kata Kunci :
Emulgel Diclofenac; keratopati vorteks pada sebelah mata; ubat anti-radang bukan steroid,