Abstrak
Kriptokokosis biasanya disebabkan oleh Cryptococcus neoformans dan Cryptococcus gattii, yang membentuk kompleks Cryptococcus. Jangkitan ini berkait rapat dengan pesakit berstatus positif-'human immunodeficiency virus' (HIV) dan sering menyebabkan pesakit berstatus negatif HIV terabai. Keadaan ini lebih ketara apabila pesakit mempunyai penyakit serentak lain yang boleh menyembunyikan gejala meningitis kriptokokus yang kelihatan tidak begitu ketara. Hasilnya ialah kelewatan diagnosis yang membawa kepada kelewatan rawatan dan prognosis yang lebih buruk untuk pesakit ini. Selain itu, pesakit limfoma yang menjalani kemoterapi menghadapi cabaran berganda, kerana kedua-dua penyakit dan rawatan menyumbang kepada kelemahan sistem imun, menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan patogen dan oportunistik. Dalam laporan kes ini, kami membentangkan kes seorang wanita Melayu berusia 36 tahun, tanpa sejarah jangkitan HIV tetapi menghidapi penyakit limfoma Hodgkin mediastinal. Beliau mengalami jangkitan Cryptococcus neoformans yang merebak secara serentak dan akhirnya meninggal dunia akibat jangkitan tersebut.
Kata Kunci :
Cryptococcus; HIV-negatif; limfoma Hodgkin; meningitis,